setiap hari anda akan dilahirkan semula

Selasa, 24 April 2012

FALSAFAH RENE DESCARTES

Rene Descartes (1596-1650) Rene Descartes dilahirkan pada 31 Mac 1596, di La haye, sebuah Bandar kecil di Touraine, Perancis. Beliau adalah anak yang ketiga dari keluarga yang amat disegani. Rene Descartes telah mendapat pendidikan awal di Jesuit College of La Fleche. Pusat pendidikan ini telah berpegang kuat dengan fahaman skolastik. Di sini beliau telah menjalani kursus pendidikan selama sembilan tahun. Walaupun beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang di kolej itu, beliau sering dibebani dengan kesangsian dan keraguan yang tidak berkesudahan. Rene Descartes juga mengalami masalah kesihatan di mana beliau diberi kebebasan dan kelonggaran untuk memiliki masa tidur yang secukupnya dan hanya bangun dari tidur seawal 11 pagi setiap hari. Pada tahun 1649, Rene Descartes telah mendapat pengiktirafan Queen Christina dari Sweden untuk menyertai halaqah perbincangan di Stockholm dan meminta Rene Descartes mengajarnya falsafah. Walaupun pada awalnya Descartes agak keberatan, namun akhirnya beliau menerima undangan tersebut yang nyata telah menjadi penyebab kematiannya. Beliau telah diminta untuk memberi tutorial kepada Queen Christina seawal lima pagi, sesuatu perkara yang tidak pernah beliau lakukan selama ini. Keadaan ini diburukkan lagi dengan cuaca sejuk di Sweden. Beliau telah meninggal dunia pada 11 Februari 1650 akibat menghidap penyakit pneumonia. Jasad Rene Descartes telah dibawa pulang ke Perancis untuk dikebumikan. Falsafah Moden Falsafah moden adalah tahap ketiga falsafah Barat yang nyata telah dipelopori oleh Rene Descartes yang merupakan ahli matematik dan juga ahli sains. Beliau telah mengkritik falsafah pra-moden dan beliau hanya mempunyai keyakinan dengan kebenaran ilmu matematik yang akan tetap kekal atau kebenaran yang hakiki walaupun sesorang itu melihat dari sudut metafizika atau dari sudut epistemologinya. Falsafah moden telah bermula di Barat di Benua Eropah pada abad ke-17 dengan munculnya aliran rasionalisme. Falsafah Descartes telah wujud berdasarkan suasana Zaman Renaissance dan latar belakang peringkat awal falsafah moden. Falsafah Descartes lebih tertumpu kepada peranan akal dan juga diri seseorang individu itu sendiri. “I think therefore I am!” (Saya berfikir kerana itulah diri saya!). Bagi beliau, akal adalah asas dan panduan bagi mencapai kebenaran. Rene Descartes telah mengemukakan kaedah kesangsian dalam pengasasan epistemologi Barat moden. Kaedah kesangsian ini telah ternyata menjadi asas falsafah ilmu dan perkembangan ilmu Barat sehingga sekarang. Rene Descartes juga merupakan seorang yang berfahaman humanisme yang menolak autoriti agama bertujuan untuk mencapai ilmu dan falsafah. Walaupun Rene Descartes berpegang kepada mazhab Katholik, beliau banyak terpengaruh dengan cabaran golongan Reformasi dalam menentang pihak gereja terutama cabaran menentang fahaman Aristotelianisme Zaman Pertengahan. Beliau telah terlibat secara aktif dalam revolusi sains dan keinginan untuk menaikkan sekali lagi fahaman skeptik Yunani dengan menentang Renaissance. Beliau juga telah melakukan reformasi secara radikal dalam bidang intelektual yang menghasilkan perspektif baru dalam falsafah dan akhirnya masyarakat telah menolak aliran skolastikisme. Prinsip yang dipegang beliau ialah ‘mengelak sebarang prejudis dan penulisan yang tidak tepat.’ Pada peringkat awal, kajiannya hanya terbatas kepada sains dan kemudiannya beliau melibatkan diri dalam bidang metafizik. Di antara karya beliau yang unggul ialah Rules for the Direction of the Mind berkenaan metod sains dan falsafah yang ditulis pada tahun 1628 tetapi hanya diterbitkan pada tahun 1701. Kemudian pada tahun 1637, beliau telah menerbitkan Discourse on Method berkenaan subjek fizik dan matematik. Karya-karya lain beliau ialah Meditations on the First Philosophy pada tahun 1641 dan Principles of Philosophy pada tahun 1644. Rasionalisme Rasionalisme adalah teori ilmu yang dipegang oleh ahli falsafah pada abad ke 17 dan 18. Sebagai seorang ahli falsafah, beliau telah dipengaruhi oleh tradisi rasionalisme Plato. Skeptisisme atau keraguan yang hampir menyerupai falsafah akademik Plato telah banyak mempengaruhi karya dan latar belakang falsafah Descartes. Seiringan dengan Plato, Descartes telah menolak pandangan golongan skeptik zaman pembaharuan yang menolak dan menafikan bahawa manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan. Rasionalisme telah mendapat garapan yang lebih mendalam, sistematis dan utuh di tangan Rene Descartes. Rene Descartes telah menjadi penyebab epistemologi atau teori ilmu terangkat menjadi tumpuan kajian ahli falsafah. Pendekatan beliau dalam pemecahan soal bagaimana akal manusia bekerja sebagai alat yang menghasilkan ilmu telah menjadi ikutan sejumlah ahli falsafah ternama. Pendekatan beliau ini dikenali sebagai “Kesangsian Radikal” (Radical Doubt). Perkataan radikal membawa maksud kesangsian yang asas dan ekstrem kerana bagi Descartes, kebenaran mestilah sesuatu yang pasti dan tidak goyah. Descartes juga percaya bahawa penggunaan kebolehan penaakulan yang dikurniakan oleh Tuhan adalah satu-satunya cara manusia mencari kebenaran yang hakiki. Aliran rasionalisme mempercayai ketaakulan sahaja yang membolehkan seseorang mencapai ilmu tentang kewujudan atau sesuatu atau setiap benda itu hanya boleh dijelaskan melalui satu sistem sahaja iaitu ketaakulan. Aliran ini juga mempercayai bahawa kepercayaan agama seharusnya ditolak jika ia didirikan tanpa asas rasional atau sesuatu komitmen yang kuat kepada ketaakulan dan menentang sebarang bentuk kepercayaan, prejudis, cara hidup ataupun apa juga pegangan yang dianggap tidak rasional. Rene Descartes yang dianggap sebagai pengasas kepada aliran rasionalisme di Barat cuba menggunakan akal semata-mata tanpa mengaitkan peranan pancaindera dalam usahanya untuk membuktikan bahawa ilmu itu hanya terhasil melalui proses taakulan. Keraguan yang munasabah adalah teknik yang digunakan dan keraguan ini hanya terhasil setelah melalui proses pemikiran. Descartes juga berkata bahawa, “kita tidak boleh menangani sifat keraguan kerana hanya dengan keraguan kita boleh menghapuskan keraguan.” (E.F.Raymond,1994) Dengan cara yang penuh sistematik, beliau kelihatan sering meragui sesuatu sehingga menemui bukti yang mencukupi dan perkara tersebut tidak boleh diragui lagi. Pada umumnya,terdapat dua prinsip utama yang mendasari teori Keraguan Descartes. Pertama, penggunaan keraguan dilakukan secara berhati-hati, hanya bersedia untuk menerima sesuatu perkara itu sebagai benar jika dapat dibuktikan kebenarannya dan kebenaran yang terhasil tidak mungkin terdedah kepada kesilapan kerana ia berdasarkan rasional seseorang. Kedua, sesuatu itu bermula dengan pembuktian jelas dan nyata dan dilanjutkan dengan cara yang betul yang mana pada setiap tahap berdasarkan tahap sebelumnya. Falsafah rasionalisme Descartes mengimplikasikan kewujudan minda manusia yang mutlak dan mampu untuk menjelaskan kejadian atau fenomena alam. Berdasarkan falsafah Descartes ini bermakna Tuhan yang selalu dilihat sebagai ‘principle of explaination’ telah diketepikan oleh Descartes. Beliau hanya mempercayai dua bentuk kewujudan iaitu akal fikiran manusia dan dunia fizikal ataupun dua bentuk dunia iaitu minda dan jisim. Beliau juga menganggap sesuatu idea yang rasional dan logikal lebih tepat dan betul dari idea-idea yang diwarisi dari generasi lama. Kesimpulan Walaupun aliran pemikiran Descartes banyak dipengaruhi oleh tokoh falsafah sebelumnya seperti Aristotle dan Plato tetapi tidak boleh dinafikan lagi Rene Descartes adalah salah seorang ahli falsafah yang teragung dalam sejarah dunia falsafah Barat moden. Aliran pemikirannya telah membuka ruang baru kepada ilmu falsafah dan ahli-ahli falsafah selepas zamannya. Rene Descartes telah dianggap sebagai bapa falsafah moden kerana usaha dan kesungguhan beliau mencari satu kaedah dalam seluruh cabang penyelidikan mengenai manusia dan usahanya memperkenalkan konsep dan hujah yang boleh dijadikan asas dalam dunia falsafah. Bahan-bahan rujukan: Kaufmann,W & Baird, F.E.(2000). Modern Philosophy Vol. 3. New Jersey: Prentice Hall. Gaukroger, S.(1980). Descartes Philosophy, Mathematics & Physics. New Jersey: Barnes & Noble Books. Joachim, H.(1957). Descartes’ Rules For The Direction Of Mind. England:Thoemmes Press. Sutcliffe, F.E.(1968). Descartes Discourse On Method And Meditations. England: Penguin Books Ltd. Ross, G.R.T & Chavez-Arvizo, E.(1997). Descartes Key Philosophical Writings. Hertfordshire: Wordsworth Editions Limited. Raymond, E.F.(1994). Perintis Psikomologi. Diterjemahkan oleh Yahya Mahmood. Kuala Lumpur: Dewan Bahsa dan Pustaka. Azmi Aziz & Wan Ramli Wan Muhamad.(2002). Tokoh Falsafah Dunia.Malaysia: Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd. Ahmad Sunawari Long.(2006). Sejarah Falsafah.Kuala Lumpur:Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan